Friday, September 18, 2009

KBS KEMASKINI PROGRAM RAKAN MASJID

30/08/2009 12:28pm

KEMAMAN 30 Ogos — Kementerian Belia dan Sukan akan mencari satu mekanisme terbaik untuk mempelbagaikan aktiviti masjid di seluruh negara dalam usaha untuk menarik golongan muda mendekati institusi itu menerusi program Rakan Masjid.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun program Rakan Masjid telah lama diwujudkan, namun ia perlu dikemaskini dan pemantauan perlu dilakukan oleh Jabatan Belia negeri untuk memastikan program-program yang direncanakan dapat dilaksanakan.

“Program ini adalah untuk menggalakkan belia pergi ke masjid bukan untuk solat sahaja tetapi juga melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan orang muda dengan masjid seperti kuliah, gotong royong dan aktiviti sukan yang bersesuaian.

“Sudah tentu ia memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk melihat keberkesanannya dan memerlukan pemantauan yang lebih kemas dan cara bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan program ini,” katanya selepas menghadiri program bersama rakyat di Masjid Jamek Kemasik, di sini hari ini.

Shabery berkata, sebagai permulaan kementerian akan memilih masjid tertentu di setiap negeri untuk dijadikan sebagai perintis program berkenaan dengan melaksanakan aktiviti yang telah dirancang selain untuk memudahkan pihaknya membuat perencanaan peruntukan.

— BERNAMA

Tuesday, September 15, 2009

PERASMIAN LAMAN BLOG MASJID

27 Ramadhan 1430H @ 16 September 2009

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,

Pada malam yang penuh keberkatan dari langit ini, dengan kemuliaan Kalimah 'BISMILLAHIR RAHMANIRRAHIM' dan Salawat Ke Atas Junjungan Utama Rasulullah SAW 'ALLAHUMMA SALLI 'ALA SAIDINA MUHAMMAD WA ALIHI WA SAHBIHI AJMA'IN' saya dengan ini merasmikan pelancaran laman blog untuk Masjid Jamea'tus Salehah iaitu:

masjidjamekdengkil.blogspot.com

Mudah-mudahan kebaikan dan keberkatan daripada Allahu Taala akan melimpahi masjid ini, para jemaah dan seluruh ahli kariah serta pendokong-pendokong imarahnya... amin.

Monday, September 14, 2009

PERUNTUKAN RM5 JUTA BINA SEMULA MASJID


PERUNTUKAN RM5 JUTA BINA SEMULA MASJID
(Sinar Harian Edisi Selangor & KL, 13 September 2009)

DENGKIL - Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil di sini akan bertukar wajah apabila siapnya sebuah masjid bernilai RM5 juta bagi menggantikan masjid lama yang uzur.

Kerja membina semula masjid berkenaan dengan menaiktarafkan beberapa keperluan lain dijangka akan dimulakan menjelang awal tahun hadapan, lengkap dengan pelbagai kemudahan
termasuk pejabat, pusat teknologi maklumat dan perpustakaan.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, peruntukan kos pembinaan masjid berkenan diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan
Perdana Menteri sebanyak RM3 juta, manakala peruntukan dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebanyak RM2 juta.

"Setakat ini, pihak JKR Sepang telah pun menyiapkan pelan asas pembinaan surau manakala kerja penyeliaan tapak Masjid akar dilakukan selepas hari raya.

"Sekiranya segalanya berjalan lancar proses sebutan tender akan dibuka dan kita menjangkakan, menjelang awal tahun hadapan, kerja merobohkan masjid lama dan membina masjid baru di tapak yang sama akal dimulakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat membangunkan masjid berkenaan oleh pihak JKR, dan ICU, di sini. Menurut Mohd. Zain, proses pembinaan masjid berkenaan telah beberapa kali tertangguh sejak sekian lama disebabkan masalah pemilihan tapak dan beberapa masalah lain.

Beikutan itu, sejurus rancangan ini diluluskan pihaknya menjangka kerja pembinaan masjid itu akan mengambil masa selama 18 bulan.

Beliau yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata, pelan pembinaan masjid berkenaan telah mengambil kira pelbagai faktor lain, termasuk tempat meletakkan kenderaan jemaah.

"Kedudukannya amat strategik kerana ianya terletak di tengah pekan Dengkil. Walau pun ada cadangan untuk membina masjid di sebuah tanah wakaf terletak berhampiran kawasan ini sudah cukup sesuai' katanya.

Difahamkan apabila siap kelak masjid ini mampu menampung seramai 1,000 jemaah dalam sesuatu masa, disamping kelengkapan lain yang disediakan membolehkan masjid berkenaan diimarahkan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Selama 18 bulan kerja pembinaan masjid berkenaan dilakukan, masjid tersebut terpaksa ditutup sementara waktu. Berikutan itu, beberapa lokasi surau dan masjid berhampiran pekan Dengkil dikenal pasti, untuk digunakan kariah melakukan solat jemaah.

PENGGUNAAN SURAU, MASJID AKAN DIKENAL PASTI: ABDUL HALIM

DENGKIL- Beberapa surau dan masjid yang terletak berhampiran dengan pekan Dengkil akan dikenal pasti untuk digunakan bagi menampung solat jemaah dan aktiviti kariah sepanjang proses membangunkan semula Masjid Jameatus Solehah.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Abdul Halim Mat Esa berkata, setakat ini Masjid Kampung Datuk Ahmad Razali, Surau Kota Warisan dan Surau Taman Gemilang boleh digunakan untuk aktiviti solat Jumaat.

"Kita akan beri kelulusan kepada surau Taman Gemilang untuk aktiviti solat Jumaat, namun kesemua masjid dan surau itu hanya mampun menampung sebahagian jemaah. Bagaimana pun, beberapa surau lain akan dieknal pasti, jika didapati sesuai untuk aktiviti solat Jumaat" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat membangunkan masjid Jameatus Solehah yang dikelolakan pihak Jabatan Kerja Raya dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di sini.

Salam Masjid, Salam Penghujung Ramadhan 1430H

Salam Masjid, Salam Penghujung Ramadhan 1430H

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh ahli kariah Masjid Jame'atus Salehah Dengkil, Selangor Darul Ehsan yang sejak daripada terdirinya tiang kayu masjid lama ini puluhan tahun yang lalu sehingga terdirinya saf dan takbiratul ihram terkini sembahyang berjemaah di masjid ini... mereka terus-menerus menyahut panggilan azan dengan mengimarahkannya dengan taat setia

Seterusnya sedalam-dalam penyampaian rasa kasih atas jasa besar dan bakti tulus setiap para imam dan nazir, bilal muazin dan siak, ahli jawatankuasanya yang baharu, yang terdahulu malah yang telah meninggalkan tugas mulia mereka untuk memenuhi panggilan Ilahi ke alam baqa'

Seutama-utama syukur, selayak-layak tahmid dan seluruh pujian tasbih hanya diserahkan kepada matlamat tujuan didirikan rumahNya di pemukiman ini, maksud seluruh titik peluh dan air mata yang tertumpah ke hamparan bumi ini dan makna sebenar ketaataan para ahli kariah ini malah seluruh insan yang mengakui kehambaan mereka...
semata-mata untuk mu ya Rabbal 'Alamin, Allahu Rabbuna

Rahmatilah kami di dalam rumah Mu ini
Rahmatilah kami di dalam bulan Ramadhan penuh keberkatan Mu ini
Terimalah persembahan dan penyembahan kami yang kerdil ini kepada Mu